Kempen melalui Facebook

RABOWO Subianto sudah bangun, solat Subuh, dan sekarang mau lari pagi. Apakah anda mau berlari pagi ini bersama saya?” Begitulah bunyi kata-kata calon presiden Indonesia dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dalam kempennya melalui Facebook.

Kempen mantan jeneral tentera Indonesia itu melalui Facebook berkesan untuk mengubah tanggapan terhadap beliau sebagai pemimpin tentera yang keras.

Sebaliknya kaedah kempen itu menjadikannya lebih mesra rakyat, apatah lagi ketika masyarakat di Indonesia menggilai dunia siber.

Syaifuddin Sayuti seorang ahli Facebook menulis: “Pak Prabowo, tunjukkan konsep anda secara jelas, jangan hanya menyerang seperti dilakukan capres (calon presiden) lain. Saya bermimpi punya presiden yang bisa memberi solusi (penyelesaian) pada persoalan bangsa, tapi tidak punya dendam.”

Mantan jeneral itu juga mempunyai laman web sendiri iaitu http://www.prabowosubianto.info.

Laman web itu mengandungi profil, aktiviti bisnes, aktiviti politik, aktiviti sosial dan lain-lain.

Melalui Facebook pula menyediakan ruang diskusi untuk menjawab berbagai pertanyaan orang ramai.

Antara topiknya, Suara Rakyat, Suara Prabowo, Gerindra Menjawab, Diskusi Kaum Muda Peduli Indonesia dan Prabowo Subianto Blogging Competition 2008.

Semua soalan dijawab satu per satu dan kini penyokong Parbowo di dalam Facebook telah mencecah 12,495 orang.

“Kami siap selalu memberikan suara kami untukmu dan Parti Gerindra… Jeneral, maju terus pantang mundur. Lebih baik pulang nama daripada gagal dalam tugas!” tulis Nevi Puryansyah, salah seorang penyokong Prabowo di Facebook.

Alfiardi Al juga memberikan semangat kepada Prabowo melalui komennya: “Indonesia jadi macan Asia? Ini yang saya tunggu. Maju terus jeneral!!! Semoga Tuhan memberikan kemudahan bagi yang berniat baik bagi bangsa ini… Amin.”

Begitulah cara kempen yang lain daripada lain digunakan oleh Prabowo yang sebelum ini tidak langsung diberikan harapan untuk memberi tentangan kepada calon presiden yang berada pada senarai teratas iaitu penyandang Susilo Bambang Yudhoyono, Jusuf Kalla dan Megawati Sukarnoputri.

Kempen digunakan Prabowo lebih mendekati rakyat kerana mereka berasa tersentuh apabila seorang pemimpin besar memberi respons kepada komen yang diberi berbanding kaedah ortodoks yang menggunakan bendera, syarahan, pelancaran buku atau album.

Berdasarkan kaji selidik Center for Strategic International Studies (CSIS) telah terjadi pengecutan sokongan pemilih terhadap tiga parti politik utama iaitu Parti Demokrat (PD), Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dan Golkar.

PD meraih 21.52 peratus diikuti PDI-P dan Golkar masing-masing memperoleh 15.51 peratus dan 14.27 peratus responden. Kaji selidik itu juga mendapati lima parti politik lain termasuk Gerindra dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) mulai mendapat perhatian orang ramai.

Ini menunjukkan kaedah kempen Prabowo sedikit sebanyak telah mengubah pola sokongan orang ramai yang tidak hanya tertumpu tiga parti utama tersebut.

Walaupun kempennya tidak agresif tetapi memberi kesan di hati dan membuka mata hati rakyat.

Bagaimanapun Parti Demokrat masih mendapat sokongan tertinggi kerana watak utamanya Susilo dan iklan-iklan yang mengena di benak masyarakat.

Iklan bertubi-tubi melalui televisyen dan radio berjaya membentuk persepsi positif masyarakat. Apa pun situasi berkempen Pemilihan Umum (Pemilu) kali ini masih terkawal dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan ia merupakan satu petanda baik demokrasi di Indonesia semakin subur serta matang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: