Menduga penghuni Koh Tong

joran

PAK BARA (Thailand): Perairan Koh Adang sememangnya cukup terkenal di kalangan pemancing Malaysia dan Thailand. Kepelbagaian lubuk di sini menyebabkan ianya sentiasa dikunjungi oleh pemancing tidak terkecuali pemancing dari Malaysia. Perkhidmatan memancing yang ditawarkan ternyata mampu memuaskan pemancing menyebabkan setiap pemancing yang berkunjung ke sini.

Penulis berkesempatan sekali lagi memancing di sini sempena cuti tahun baharu yang lepas. Kami seramai lapan orang bertolak dari rumah Che Mat Hasan di Kajang, Selangor menggunakan dua kenderaan.

Kami menggunakan pintu masuk Wang Klian, Perlis untuk memasuki Thailand. Setelah urusan selesai perjalanan diteruskan lagi yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan lagi untuk tiba di jeti Pak Bara. Kami tiba sekitar jam 2 petang waktu Thailand. Penulis menggunakan khidmat tekong Walad kerana beliau adalah salah seorang tekong yang cekap dan mengetahui banyak lubuk di sini dibantu adiknya Budi.

Malam pertama kami menangguk sotong sebanyak mungkin untuk umpan, kemudian beredar ke lubuk pertama di Koh Adang yang terkenal itu. Di lubuk ini hanya kerapu saiz 1 kilogram (kg) saja yang sudi menjamah umpan kami. Khuatir sotong hidup dihabiskan ikan kecil ini tekong segera bergerak menuju ke Nok Kiau.

Setibanya di lubuk itu masing-masing menurunkan umpan, Che mat terlebih dulu menaikkan seekor tanda karang. Shah yang berada di belakang bahagian kiri bot segera menekan butang kekili elektrik perlahan-lahan mangsa ditarik ke atas, seekor ebek 3kg menjadi miliknya.

Lebih kurang 10 minit kemudian joran beliau terpelanting ditarik kuat dan dengan segera mencapainya lalu membuat karauan. Seekor gerepoh berjaya ditarik ke atas bot, apabila ditimbang beratnya mencecah 19kg ternyata menggembirakan Shah.

Hari kedua kami memancing sekitar Koh Tong, iaitu sebuah kawasan pulau berbatu. Badrolsham dari Persatuan Memancing Shah Alam berjaya menewaskan seekor ebek skala 3kg. Selang beberapa ketika, Mat Hasan dan Adni pula berjaya menaikkan kerapu pisang yang cantik serentak. Dr Raof senyum lebar apabila seekor merah coreng tertewas di tangan tuan doktor yang tinggal di Bangi ini.

Menjelang petang bot beralih atas gugusan batu untuk memancing jenahak. Sangkaan kami tepat kerana sebaik saja sotong hidup Dr Raof mencecah dasar, jorannya membengkok tunduk ke laut. Perlahan-lahan kekili menarik mangsa ke atas. Ternyata cukup lumayan seekor jenahak hampir 4kg menyerah kalah atas lantai bot.

Sebaik saja saya mengambil gambar beliau, Nasir Smart yang berada di hadapan pula menerima sentapan, lagi seekor jenahak hampir 3kg tumpas di tangan pengusaha bengkel di Shah Alam ini. Ternyata bot betul-betul berada di atas lubuk jenahak kerana penulis dan Mat Hasan berjaya menaikkan jenahak serentak.

Jam 9 malam Nasir Smart berjaya menaikkan seekor gerong pulau skala 4kg yang dikenali sebagai nyok nyok pisang oleh nelayan tempatan, selepas itu jemuduk, tetanda karang dan jenahak silih berganti dinaikkan menyebabkan kami semua memancing sehingga pagi. Berbelas ekor cupak dan gerepoh berjaya dipancing secara jigging (mengunjun) penulis berjaya menewaskan seekor gerepoh 7kg menggunakan jig seberat 40 gram.

Ternyata sekitar Koh Tong memberikan kami hasil yang lumayan kerana pelbagai spesies ikan berjaya dinaikkan seperti jenahak, merah, gerut, jemuduk, kerapu dan lain-lain ikan bermutu. Apa yang penting tekong mestilah cekap melabuhkan bot betul-betul di atas lubuk yang terdiri daripada gugusan batu. Semua pemancing berpuashati kerana berjaya menaikkan ikan, perjalanan jauh dari Bangi tidak dirasakan ekoran kejayaan menduga dan menewaskan pelbagai penghuni Koh Tong yang jarang dikunjungi pemancing kerana pemancing lebih tertumpu di Koh Adang dan Nok KIau.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: