EPL digilai seluruh dunia

epl
Kesetiaan dan kecintaan peminat tak berubah walaupun pemain silih berganti

BOLA SEPAK mempunyai kuasa luar biasa yang menarik minat jutaan penduduk dunia, apatah lagi apabila membabitkan liga bola sepak paling terkenal dan paling ramai ditonton di dunia, Liga Perdana Inggeris (EPL).

Walaupun ada yang mendakwa liga bola sepak La Liga, Sepanyol dan Serie A, Itali, lebih berkualiti, EPL dinobatkan sebagai paling berprestij di dunia dan ditonton jutaan penduduk dunia. Dalam satu perlawanan antara Manchester United dan Liverpool pada 2002, hampir 500 juta orang atau satu daripada 12 penduduk dunia menyaksikan perlawanan itu

Walaupun ada 20 pasukan dalam EPL, empat kelab yang dilabelkan sebagai `Big Four’ iaitu Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Chelsea, lebih mendapat tempat di kalangan peminat seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara ini.

Walaupun kelab lain juga ada peminat masing-masing, tetapi tidak sehebat empat kelab ternama ini yang bersatu hati menubuhkan kelab penyokong.

Minat dan semangat penyokong `Big Four’ merentasi sempadan geografi, budaya dan status masyarakat. Biarpun berjarak ribuan batu antara England dan Malaysia, keupayaan empat kelab ini menambat hati penggemar bola sepak amat mengagumkan.

elp1
JOHN Chew, Halim dan Harun, bangga kerana kelab Penyokong Liverpool mendapat tumpuan dunia.

Mengapa empat kelab ini? Ada pelbagai pendapat yang boleh diberikan, apatah lagi jika ditanya kepada peminat empat kelab berkenaan. Antara alasannya ialah empat kelab berkenaan adalah yang paling kerap memenangi kejuaraan EPL.

Sejak EPL diperkenalkan pada 1992 (liga bola sepak Inggeris diasaskan pada 1888), Manchester United adalah paling kerap muncul juara, iaitu sebanyak 10 kali. Malah kelab yang berpangkalan di Manchester menjuarai Kejohanan Kelab Dunia di Jepun, tahun ini.

Selain itu, empat kelab berkenaan menguasai empat kedudukan teratas sejak tiga tahun lalu. Usaha kelab lain termasuk membeli pemain terkenal setakat ini belum dapat memecah monopoli empat kelab berkenaan.

`Big Four’ juga kaya dengan limpahan pemain terkemuka dunia. Siapa yang tidak kenal Cristiano Ronaldo, yang meraih gelaran pemain terbaik Eropah tahun ini dari Manchester United atau Michael Ballack (Chelsea), Fernando Torres (Liverpool) dan Cecs Fabregas (Arsenal).
Laurence bersama koleksi cenderamata MU di rumah kelab, di Petaling Jaya.

Pelbagai faktor ini menyebabkan `Big Four’ mendapat tempat istimewa di hati peminat. Kesetiaan dan kecintaan tidak berubah walaupun pemain silih berganti, pemilikan dan pengurusan bertukar rentak dan kalah menang menjadi asam garam.

Amat menarik melihat penyokong kelab bergabung menubuhkan kelab penyokong secara rasmi dan didaftarkan mengikut undang-undang. Malah Kelab Penyokong Manchester United dan Liverpool mempunyai rumah kelab sendiri.

Kelab penyokong lain pula biasanya berhimpun di cafe tertentu sekitar Lembah Klang seperti di Bangsar dan Sri Hartamas.

Diuruskan secara teratur seperti pertubuhan berdaftar lain dengan mempunyai presiden dan ahli jawatankuasa, aktiviti tidak sekadar berkumpul menonton perlawanan di kaca televisyen atau melepak di kafe.

Mereka mengatur secara terperinci aktiviti tahunan termasuk menerbitkan buletin, menjual cenderamata, mengusahakan pertemuan dengan pemain diminati malah sebagai tanda sokongan, menganjurkan rombongan ke stadium menyaksikan pasukan mereka beraksi.

Laurence ke Old Trafford selang dua minggu

SETIAP kali mengimbau kenangan tahun 1967, perasaan sayang dan kesetiaan Laurence How terhadap kelab bola sepak kesayangannya, Manchester United (MU) makin kukuh. Dia hanya berusia 18 tahun ketika dibawa ibu bapanya berkunjung ke Stadium Old Trafford menyaksikan Red Devils (gelaran MU) beraksi.

Usia remaja ditambah kegilaan terhadap bola sepak, pengasas merangkap Setiausaha Kelab Penyokong Manchester United (MUSC) Malaysia, tidak mampu menyembunyikan perasaan ghairah melihat sendiri aksi pemain pujaannya ketika itu, George Best dan Denis Law.

“Itu adalah pertama kali saya melihat sendiri mereka. Dalam hati saya berkata, ini bukan kunjungan terakhir dan saya akan datang lagi menikmati gema sorak Old Trafford,” katanya. Selepas beberapa lama menjadi penyokong setia, Laurence berazam menyumbang sesuatu buat kelab kesayangannya. Kerjaya bersama syarikat elektronik Sharp membantunya merealisasikan impian kerana Sharp pada awal 80-an adalah antara penaja utama pasukan jersi merah saga ini.

Pada 1982, Laurence menubuhkan MUSC Malaysia dan keahlian pernah mencecah hingga 7,000 orang, tetapi kini keanggotaan kelab adalah kira-kira 500 ahli.

“Keahlian kelab pernah mencecah 7,000 orang namun jumlah ahli kemudian dihadkan kepada mereka yang benar-benar menepati kelayakan. Ini bermaksud bukan meminati MU mengikut musim atau mengagumi hanya pemain tertentu,” ujarnya.

Laurence melabelkan dirinya peminat fanatik yang sanggup melakukan apa saja demi pasukan bola disanjungi.

Rasa cinta mendalam menyebabkan Laurence berusaha menjadikan kediaman teres dua tingkat di SS2 Petaling Jaya sebagai gedung menyimpan ribuan khazanah MU seperti poster, lukisan, piala, cenderamata, jersi, topi, cadar, set catur, kad keluaran khas, pemegang kunci dan anak patung.

Dalam sekian banyak himpunan itu, Laurence amat menghargai dua biji bola ditandatangani Queen Elizabeth dan suami, Putera Philip.

Laurence mendakwa MU pernah menawarkan kira-kira RM50,000 untuk membeli bola itu, namun ditolaknya kerana Queen Elizabeth tidak pernah menurunkan tandatangannya pada mana-mana cenderamata apabila diminta berbuat demikian.

“Queen Elizabeth terkenal dengan sikap berhati-hati dan jarang ingin menurunkan tandatangan tanpa sebab. Bola ini ditandatanganinya pada 1998 ketika menghadiri persidangan mesyuarat Komanwel,” katanya.

Oleh kerana tidak berjaya memujuk Laurence, pengurusan MU terpaksa meminjam bola itu untuk dipamerkan pada majlis tertentu.

Mengenai kepelbagaian koleksinya, Laurence memberitahu tidak semua diperoleh dengan mudah dan sebaliknya perlu berusaha keras melengkapkan himpunan itu.

Sejumlah besar cenderamata diborong sewaktu melawat England, manakala yang lain didapati dengan melayari laman web yang menawarkan pembelian secara tukar barang (barter) dan jualan lelong.

Namun, katanya ada sebahagian koleksi adalah pemberian kenalan yang memahami minat luar biasanya.

“Mereka yang tahu saya peminat nombor satu MU akan menghadiahkan apa saja barangan berkaitan MU. Walaupun saya pengumpul tegar, kadang-kadang terlepas pandang maka pemberian kawan-kawan dijadikan pelengkap himpunan,” katanya yang turut menjual cenderamata MU seperti pelekat kereta, baju-t, pemegang kunci dan topi.

“Konsepnya begini, kawan-kawan membantu saya menyempurnakan himpunan, saya balas dengan menolong mereka menambah koleksi sedia ada,” katanya.

Terlalu sebati dengan barangan asli, Laurence boleh memberitahu tarikh dan keaslian baju-t yang dijual di pasaran melalui logo dan tulisan yang dicetak pada baju.

Laurence dan anggota kelab juga tidak kisah berbelanja besar ke Old Trafford semata-mata memberi sokongan moral buat pasukan MU.

Secara purata dalam setahun, lebih 10 kali Laurence menjejakkan kaki ke England. Bahkan bukan sekali dua dia terbang ke England untuk membelikan tiket untuk anggota kelab yang ingin menyaksikan perlawanan penting MU.

Kekerapan Laurence ke Old Trafford disifatkan rakan karibnya, Lim Cheng Hoo seperti balik ke kampung.

“Saya pernah melihatnya ke sana selang dua minggu bagi membeli tiket perlawanan dan kemudian terbang pulang untuk diberikan kepada kawan-kawan yang memesan. Memiliki tiket akan menyenangkan urusan pemeriksaan imigresen,” katanya.

Kegilaan Laurence tidak sekadar di padang, bahkan mempengaruhi pilihan nombor pendaftaran keretanya menerusi empat angka 7, iaitu mewakili nombor jersi empat pemain idolanya, George Best, Bryan Robson, Eric Cantona dan David Beckham.

Tanggal 23 Mei 1998 adalah detik paling manis dalam hidup Laurence apabila Eric Cantona sudi menerima pelawaannya untuk berkunjung rumah kelab.

“Saya berbesar kerana Cantona sanggup memenuhi jemputan bermesra dan melepak bersama peminatnya di sini.

“Sejak hari itu, saya memperuntukkan bilik khas untuk Cantona berehat, malah bermalam jika dia datang ke negara ini lagi,” katanya Laurence sambil menunjukkan bilik berkenaan yang sarat dihiasi koleksi membabitkan pemain berasal dari Perancis.

MUSC Malaysia yang ditubuhkan Laurence turut menerbitkan majalah yang mengandungi maklumat mutakhir pasukan itu untuk edaran di kalangan ahli. Diterbitkan dua kali setahun, majalah itu menyajikan laporan aktiviti, ulasan dan jadual perlawanan, kembara ke Old Trafford dan profil pemain.

balik hari ke Liverpool hanya untuk cenderamata

LIVERPOOL, sebuah kelab bola sepak terkemuka Liga Perdana Inggeris (EPL) turut mempunyai kelab penyokong di negara ini yang ditubuhkan pada 1995. Kelab Penyokong Liverpool Malaysia (LSCM) kini mempunyai keahlian kira-kira 6,000 orang.

Pengelola Bahagian Media dan Penajaan LSCM, Nantha Kumar, berkata keahlian kelab terbuka kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau kelayakan profesional.

Menerusi yuran keahlian RM80 setahun, ahli menikmati pelbagai keistimewaan termasuk memenangi cabutan bertuah menyaksikan aksi secara langsung Liverpool di Stadium Anfield. Kelab juga menganjurkan lawatan tiga kali setahun ke Liverpool bagi memberi peluang kepada ahli melihat secara dekat pemain kesayangan mereka.

“Kami menamakan tempoh setahun sebagai semusim. Setiap musim, dua tiga kali juga kami ke Anfield menonton Liverpool beraksi. Setakat ini tiada masalah mendapatkan tiket perlawanan kerana kelab penyokong Liverpool di sana sedia membantu.

“Tiket mesti ditempah enam hingga lapan minggu sebelum perlawanan dengan mengisi borang permohonan disediakan,” katanya.

Walaupun Kelab Penyokong Liverpool juga ada di negara Asia lain seperti Brunei, Indonesia dan Singapura, Nantha dan teman seperjuangan, Naib Presiden kelab, John Chew; Penyelaras Bersama Zon Selatan, Halim Hassan dan Penyelaras Bersama Zon Utara, Harun Mohamed Mohideen, bangga kerana kelab itu mendapat tumpuan dunia.

Kelab itu diminta membantu Malta dan Bulgaria menjadi jururunding menubuhkan kelab yang sama di negara berkenaan.

Bagi mengekalkan jati diri dan sokongan padu terhadap Liverpool, kelab itu memastikan setiap cenderamata, kemeja t dan jersi dibeli terus di Liverpool dengan menghantar wakil ke sana bagi memborong pesanan barang oleh ahli kelab dan kemudian terbang ke tanah air pada hari yang sama.

“Sesetengah orang menganggap perjalanan 14 jam sehala semata-mata membeli cenderamata merugikan, namun bagi kami minat mengatasi segalanya. Kepuasan menurut takrifan ahli kelab ialah menyimpan cenderamata asli pasukan kesayangan mereka,” kata Chew.

Bagi menghargai ahli, kelab Liverpool tidak ralat menghadiahkan jersi atau bola tertera tandatangan eksklusif pemain kepada mereka melalui cabutan, sama ada ketika majlis perayaan tertentu atau makan malam tahunan.

Nantha berkata, tidak semua barangan dan cenderamata yang ditandatangani pemain dipamer dan disimpan di galeri kelab dan sebaliknya koleksi berharga itu diagihkan kepada peminat.

“Konsep dan cogan kata kami ialah berkongsi. Kami tidak mahu bersikap pentingkan diri dengan mengisytiharkan ia sebagai harta kelab. Daripada dipamerkan di dinding kemudian berdebu tidak terjaga, lebih baik diberi kepada mereka yang ingin melengkapkan koleksi,” katanya.

Sebagai kelab yang mempunyai ribuan ahli, Nantha dan tiga rakannya bertanggungjawab menyediakan maklumat terkini, pantas dan terperinci mengenai Liverpool kepada penyokong setia. Selain mengedarkan Walk On yang diterbitkan secara bulanan, inisiatif baru yang diambil ialah mengemaskinikan laman web rasmi setiap minggu.

Nantha mengakui cara komunikasi ini sangat membantu, terutama jika ingin menghebahkan sesuatu perjumpaan atau mengajak ahli kelab memeriahkan menonton perlawanan penting di tempat yang ditetapkan.

INFO

Tiga kategori penyokong bola sepak

# Penyokong fanatik Manchester United (MU) yang mengikrarkan sokongan tidak berbelah bagi.

# Kumpulan penyokong yang membenci MU yang digelarnya ABU (Anything but United/ Apa Saja Selain MU).

# Kelompok yang mengangkat pemain bola sepak tertentu sebagai idola. Golongan ini tidak setia. Minat mudah berubah mengikut langkah dan hala tuju pemain diminati.

Dua golongan penyokong bola sepak

# Minat bola. Minat golongan ini sama seperti pemancing yang mencari lubuk terbaik untuk meraih tangkapan. Mana lubuk yang menjanjikan banyak ikan di situ akan ditujui.

# Gila bola. Kelompok ini menjadikan bola sepak sebagai sebahagian darah daging. Minat mengatasi kemasyhuran pemain dan kekuatan pasukan secara keseluruhan. Minat ini tidak tergugat biarpun pasukan yang disokong menempah kekalahan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: